BOLA SEPAK

Martens harap sempat pulih sebelum final

Penulis Jemputan 04/07/2019 | 02:27 MYT
Lieke Martens perlu bergantung harap kepada pasukan perubatan Belanda untuk memastikan dirinya cergas menjelang final Piala Dunia Wanita selepas bintang Barcelona itu hanya bertahan selama 45 minit ketika berdepan Sweden dalam separuh akhir di Stadium Groupama, awal pagi tadi.
Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan ketika rakan sepasukannya, Jill Roord, terpijak kakinya ketika meraikan jaringan kemenangannnya ke atas Jepun dalam pusingan 16.
Martens tidak menjalani latihan sebelum perlawanan mementang Itali dalam pusingan berikutnya walaupun dia menamatkan 90 minit sepanjang perlawanan itu.
Namun, dia terpaksa dikeluarkan ketika waktu rehat dalam perlawanan awal pagi tadi gara-gara kesakitan yang dialami.
Belanda menewaskan Sweden 1-0 menerusi gol Jackie Groenen dalam masa tambahan, namun perlu berkira-kira sama ada Mertens dapat diturunkan untuk berdepan Amerika Syarikat (AS) dalam aksi final, awal pagi Isnin ini.
"Sebagai pemain, anda sentiasa mahu beraksi dalam perlawanan terbesar karier anda dan final ini merupakan antara yang terbesar dan saya mahu beraksi.
"Saya akan menjalani pemulihan dengan pegawai perubatan, saya amat mempercayai mereka dan saya akan melakukannya setiap hari," katanya.
Mertens mengakui dia tiada masalah untuk digantikan dengan Roord dalam waktu rehat memandangkan dia sudah berasa sakit sejak awal permainan.
"Ia tidak berasa baik," katanya mengenai keadaan kakinya.
"Bagi saya, ia amat mudah.
"Saya tidak cergas 100 peratus, jadi saya mahu pemain lain untuk masuk dan memberikan 100 peratus.
"Ia semudah itu.
"Apa yang penting ialah pasukan ini akan menjadi lebih baik jika pemain memberikan 100 peratus," tambahnya.
;