LIGUE 1
Marquinhos ingatkan PSG usah ulangi kealpaan
AMIENS 4 PSG 4
Marquinhos mengingatkan Paris Saint-Germain (PSG) supaya mempamerkan sikap yang tepat ketika berkunjung ke Borussia Dortmund selepas mereka berputih mata apabila diikat seri 4-4 dengan Amiens, awal pagi tadi.
Persembahan goyah pendahulu Ligue 1 itu bukanlah cara yang dihajati skuad kendalian Thomas Tuchel berkenaan sebagai persiapan terakhir menjelang perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Jerman, Rabu ini.
Biarpun keputusan itu tidak menjejaskan cengkaman PSG dalam saingan domestik, namun ia boleh menjejaskan cita-cita mereka untuk berjaya di peringkat Eropah.
Sekiranya jaguh dari Paris itu mengulangi prestasi seperti ketika berdepan Amiens, mereka hampir pasti akan dihukum dengan kejam oleh Dortmund, yang memiliki pemain handalan seperti Erling Haaland dan Jadon Sancho.
Pertahanan, Marquinhos, dimasukkan sebagai pemain gantian di Amiens yang menyaksikan PSG sempat ketinggalan 1-3 sebelum memimpin perlawanan 4-3 tetapi lawan, yang gagal memenangi sebarang aksi liga sejak November lalu itu, menghasilkan jaringan penyamaan pada lewat permainan.
74' @MauroIcardi makes it 4-3! A lovely low ball to the back post from Bernat that the striker taps in! What a comeback! #ASCPSG
— Paris Saint-Germain (@PSG_English) February 15, 2020
Pemain antarabangsa Brazil itu, yang kembali selepas pulih daripada kecederaan hamstring, berkata: "Kami telah melihatnya sendiri bagaimana jika kami tidak fokus sehingga tamat perlawanan, kami boleh dibolosi dan ia boleh menyebabkan kami terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal.
"Kami perlu menyorot kembali tindak balas yang baik ketika berusaha untuk bangkit kerana ia faktor yang penting. Ia membuktikan bahawa kami perlu mengekalkan tumpuan hingga perlawanan berakhir kerana jika kami alpa walaupun sekejap, kami boleh dihukum pada penghujung permainan."
Katanya lagi kepada laman sesawang PSG: "Adalah mustahak buat saya untuk kembali beraksi menjelang pertemuan getir yang akan datang. Saya sangat gembira kerana sempat pulih sebelum perlawanan penting.
"Kami kini perlu mengalihkan tumpuan kepada Dortmund. Kami perlu memikirkan soal untuk menghasilkan prestasi yang baik. Kami akan memperagakan aksi 100 peratus walaupun berdepan beberapa situasi sukar sebelum perlawanan itu. Kami perlu mempunyai sikap yang betul demi menjelmakan prestasi yang bagus. "
Sementara itu, kelibat Neymar akan terus dipantau dan Tuchel akan membuat pendirian terhadap kecederaan rusuk yang dialami penggempur dari Brazil itu.
Editor: Shaiful Shamsudin