Skip to main content

Bola Sepak

Marcos Llorente sangkal Atletico Madrid bersandar tuah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

llorente.jpg
ELCHE 0 ATLETICO 1

Marcos Llorente menolak cadangan Atletico Madrid terpaksa bergantung kepada tuah dalam pemburuan gelaran LaLiga selepas menang tipis ke atas Elche, malam tadi. 


Llorente menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-23, beberapa saat selepas jaringan Luis Suarez dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Bagaimanapun, Llorente sendiri hampir menjadi watak pemusnah kemenangan selepas bola terkena tangannya untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan pada lewat permainan. 

Namun, Atleti terselamat apabila rembatan ketua pasukan Elche, Fidel, singgah di tiang -- untuk Atleti kebal dalam tiga sepakan penalti terakhir yang dihadapi. 

Kemenangan itu mengangkat Atleti lima mata mendahului saingan empat penjuru itu.

Dengan Barcelona tewas pada Jumaat lalu, Atleti akan ditabalkan juara sekiranya mereka menang keempat-empat baki perlawanan termasuk perlawanan getir menentang Blaugrana di Camp Nou, Sabtu depan.

"Ini adalah satu kewajiban untuk menang, ia sangat penting buat semua orang," kata Llorente kepada Movistar.

"Kami sedar bagaimana untuk melangsungkan permainan ini. Semua pesaing berada di puncak prestasi dan Elche adalah sebuah pasukan yang hebat. Kami memungut tiga mata dan ia memberi kami kepuasan sebenar."

 

Ketika ditanya apakah tuah di pihak Atleti, Llorente berkata: "Saya tidak percaya kepada nasib kerana pada akhirnya, jika sepakan penalti itu berjaya disempurnakan sekalipun, Jan Oblak masih berada di kedudukan yang tepat. 

"Kami meraih mata dan ia menyuntik kami kekuatan besar untuk kami meneruskan perjuangan. 

"Kemenangan adalah petanda positif, meningkatkan keyakinan kami dan hari ini adalah salah satu harinya."

Advertisement

Must Watch Video