LIGA SUPER MSIA

Mansuh Piala MFL bukan penamat pemain muda

Shaiful Shamsudin 27/03/2025 | 08:41 MYT
Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Olleranshaw, menganggap ketiadaan kejohanan Piala MFL pada musim hadapan bukanlah penamat kepada karier pemain-pemain muda.
Baginya, pemain-pemain sepatutnya lebih berfikiran terbuka untuk berusaha keras memastikan kualiti yang ada pada mereka dapat dilihat oleh jurulatih-jurulatih selain lebih bijak mencari peluang untuk kekal beraksi baik di Liga Super atau Liga A1 Semi Pro.
Kemuncak karier pemain muda bagi Scott bukanlah hanya perlu berharap dalam Piala MFL semata-mata, sebaliknya mereka sudah boleh mencongak langkah untuk cuba menembusi mana-mana kelab meskipun perlu bermula di divisyen yang lebih rendah.
“Mereka perlu lebih kreatif untuk cari peluang, jangan hanya menunggu peluang itu sampai tanpa berbuat apa-apa.
“Maksud saya di sini mencari peluang adalah mereka perlu bermula di sesuatu tempat dan kalau perlu di divisyen yang lebih bawah, ambil sahaja peluang itu.
“Jangan malas untuk buat rangkaian dan berhubung rapat dengan mana-mana kelab untuk membuktikan kualiti yang ada, dan saya percaya jika mereka benar ada kualiti tersebut, mereka pasti akan diserap masuk”, jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Penang, Jeffrey Chew, menyifatkan keputusan untuk memansuhkan Piala MFL sebagai sesuatu yang positif khususnya untuk jangka masa panjang.
Baginya, sesetangah pihak mungkin merasakan impak negatif dengan pemansuhan ini, tetapi untuk jangka masa panjang, keputusan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban kelab daripada aspek kewangan.
“Bagi saya, keputusan ini dibuat apabila nilai komersial tidak dapat dilihat dalam tempoh 12 bulan terakhir ini dan sudah tentu untuk kelab, ia sesuatu positif sebab kita tidak mahu membebankan pasukan.
“Tetapi sudah tentu akan yang bertanya ke mana hala tuju pemain bawah 23 tahun dan bagi saya, ia bergantung kepada kualiti pemain itu sendiri.
“Saya setuju pemain-pemain muda ini akan lebih matang kerana persaingan mereka akan lebih tinggi untuk rebut tempat di Liga Super dan untuk saya, keputusan ini adalah permulaan yang perlu dianggap positif untuk mereka”, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Mohd Sabri Abas, pula berasakan sudah tiba masa kelab mempertimbangkan untuk menggunakan kudrat pemain muda sepertimana Terengganu yang tidak pernah menidakkan kualiti yang ada pada pemain mereka seperti Zachary Zahidadil dan Danial Mohd Nor dari Terengganu FC III yang pernah mendapat debut diturunkan dalam aksi Liga Super sebelum ini sebagai pemain gantian.
“Sudah sampai masanya untuk pemain-pemain muda diketengahkan kepada skuad utama dan ini yang biasa kita amalkan untuk bagi peluang kepada pemain muda membuat debut sebelum ini.
“Ini kerana di Terengganu, kita melihat pemain muda terutama pemain tempatan seharusnya menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman bersama-sama pemain utama.
“Yang kedua saya lihat apabila Piala MFL ini dimansuhkan, ini masanya untuk mereka cuba bersaing di liga yang kompetitif dan sudah sampai masanya semua kelab juga menggunakan lebih ramai pemain muda terutama daripada Piala MFL”, katanya.