BOLA SEPAK

Maniam: Lupakan kejayaan di pentas AFF

Penulis Jemputan 01/09/2019 | 14:25 MYT
Ketua jurulatih skuad B-15 negara, P. Maniam, tidak mahu skuad kendaliannya itu dibayangi kejayaan dalam Kejohanan AFF, sebaliknya mahu mereka menggandakan latihan menjelang aksi kelayakan Kejohanan AFC B-16 2020 di Vientiane, Laos, hujung bulan ini.
Bekas pengendali Selangor itu nyata berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang tidak mengenal erti putus asa sehingga ke saat akhir dalam pertarungan final berdepan Thailand, bulan lalu.
Bagaimanapun, dia mahu anak buahnya melupakan kejayaan itu selepas memulakan latihan pusat hari ini yang menyaksikan 30 pemain melaporkan diri.
Perancangannya adalah menurunkan pemain simpanan terlebih dahulu dalam aksi persahabatan menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Jumaat ini, sebelum berdepan Mongolia, tiga hari kemudian dan seramai tujuh pemain akan digugurkan secara berperingkat.
"Kami akan berdepan SSBJ terlebih dahulu tetapi menggunakan semua simpanan. Apabila menentang Mongolia, kami akan gabungkan pemain skuad simpanan bersama mereka yang terpilih. Daripada situ, kami akan buat pemilihan. Sekarang, pemain simpanan perlu setaraf dengan kelompok dalam kesebelasan utama," katanya.
Skuad B-15 negara bakal berdepan cabaran tuan rumah, Kemboja, dan Jepun dalam aksi kelayakan di Laos dari 18 hingga 22 September ini.
"Ia bukan aksi mudah walaupun menentang Kemboja. Pemain perlu berlatih dengan gigih. Berbekalkan pemain yang berkualiti ini, saya harap kami akan melangkah jauh."
;