BOLA SEPAK
Maniam kekalkan kesebelasan utama
Ketua jurulatih skuad B-15 negara, P. Maniam, akan mengekalkan kesebelasan utama yang membawa kejayaan dalam Kejohanan AFF dengan penambahan beberapa muka baru dalam pasukan untuk kelayakan Kejohanan AFC B-16 2020 di Vientiane, Laos, hujung bulan ini.
Berdasarkan prestasi mereka dalam perlawanan persahabatan minggu lalu, beberapa muka baru, terutama pemain dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), nyata menyerlah hasil kombinasi dengan pemain lama.
Aksi persahabatan menentang Mongolia menyaksikan pasukan negara menang besar 10-0 selain tewas di tangan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2-1.
Namun, pengendali itu menegaskan skuad kebangsaan perlu memperbaiki kelemahan, terutama di bahagian tengah, yang perlu ampuh bertahan menjelang perlawanan di Laos nanti.
"Kami membawa masuk pemain baru dari SSTMI, Syafiq Hisham. Dia seorang pemain yang baik dan kami memberikannya peluang untuk menyertai pasukan bersama beberapa muka baru lain. Saya rasa, kini pasukan lebih bagus berbanding sebelum ini," ujar Maniam.
Sementara itu, pemain tengah kebangsaan, Muhammad Akid Mohd Zamri, kecewa dengan kecederaan kaki kiri semasa perlawanan persahabatan menentang SSBJ yang merencatkan peluangnya membarisi skuad negara.
"Saya meminta jurulatih mengeluarkan saya walaupun masih mahu bermain. Sedih kerana tidak dapat menyertai saingan kelayakan dan berharap pasukan mampu meraih kemenangan tanpa saya. Kalau boleh, saya mahu beraksi," katanya.