Manchester United silap langkah rekrut semula Cristiano Ronaldo, kata Solskjaer
Shaiful Shamsudin
September 20, 2023 06:20 MYT
September 20, 2023 06:20 MYT
Bekas pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengakui tersilap langkah mengenai pembelian semula kelab Cristiano Ronaldo.
Solskjaer sedang mengemudi skuad ketika United membawa pulang pemenang Ballon d’Or lima kali itu ke Old Trafford di sebalik keyakinan permulaan menarik mereka pada Ogos 2021.
Perpindahan itu dilihat mampu memacu United mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, keharmonian skuad itu mula goyah sebaik mereka bergelut yang membawa kepada pemecatan Solskjaer pada November tahun itu.
Ronaldo meninggalkan kelab itu secara kontroversi 12 bulan kemudian.
Solskjaer memberitahu The Athletic: “Ia berkaitan apakah langkah seterusnya untuk mencabar kejuaraan. Dan malangnya ia tidak berjaya.
“Ia adalah satu keputusan yang sangat sukar untuk ditolak dan saya rasa kami terpaksa merekrutnya tetapi ternyata ia tindakan yang silap.
“Ketika dia tiba kami rasa ia satu keputusan yang sangat tepat dan peminat berasakan pertemuan dengan Newcastle itu (ketika dia menjaringkan dua gol) menggegar Old Trafford. Dia masih salah seorang penjaring gol terbaik di dunia, dia kelihatan berbisa.”
Tetapi dia menambah: “Apabila anda membentuk pasukan, anda memerlukan semua orang menuju ke arah yang sama. Apabila keadaan menjadi tidak berjalan lancar, anda boleh lihat pemain dan ego tertentu muncul."