Manchester United perlu sentiasa menderita -- Erik ten Hag
Shaiful Shamsudin
Ogos 24, 2022 08:36 MYT
Ogos 24, 2022 08:36 MYT
Pemain Manchester United perlu bersedia untuk terus menderita jika mereka ingin memaksimumkan potensi mereka musim ini selepas menewaskan Liverpool, menurut pengurus, Erik ten Hag.
United mengejutkan musuh ketat mereka itu apabila melakar kemenangan sukar 2-1 di Old Trafford semalam dan lebih mengejutkan keputusan tersebut direkodkan selepas mereka mengharungi dua kekalahan yang mengecewakan.
The Red Devils memulakan era Ten Hag dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kekalahan berturut-turut kepada Brighton & Hove Albion dan dibelasah Brentford 0-4 di London.
Ten Hag kemudian mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan Harry Maguire, Cristiano Ronaldo dan Luke Shaw daripada kesebelasan utamanya ketika melayani kunjungan Liverpool yang menyaksikan pengganti masing-masing; Raphael Varane, Anthony Elanga dan Tyrell Malacia beraksi dengan baik dalam kemenangan pertama mereka ke atas The Reds sejak 2018.
Sikap keseluruhan barisan United menerima pujian meluas berdasarkan kegigihan mereka bertahan -- 232 tekanan terhadap pemain lawan adalah yang ketiga tertinggi musim ini.
Ten Hag menagih anak buahnya supaya memastikan persembahan semalam bukan sekadar satu kebetulan apabila menuntut mereka membina rentak itu bagi merealisasikan objektif mereka.
WHAT. A. WIN! ?#MUFC || #MUNLIV
— Manchester United (@ManUtd) August 22, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sehubungan itu, pengurus dari Belanda tersebut memberi amaran kepada barisannya agar terus merendah diri.
"Apa yang saya tuntut ialah pemain mempamerkan semangat terbaik pada setiap hari. Setiap hari, mereka perlu membawanya ke kelab," katanya kepada laman sesawang rasmi United, awal pagi tadi.
"Ia harus menjadi cara hidup dan saya harap mereka faham. Tahap prestasi tinggi hanya akan berfungsi sekiranya anda mempunyai semangat dan mempunyai fokus sedemikian.
"Jika pemain bersetuju maka mereka perlu sedia melukai diri sendiri dan menderita demi mencapai tahap terbaik."