Manchester United berisiko ditendang daripada saingan UEL
Muhammad Saufi
Mei 29, 2024 19:25 MYT
Mei 29, 2024 19:25 MYT
Manchester United berada dalam bahaya disingkirkan daripada saingan Liga Europa (UEL) dan hanya boleh beraksi di Liga Persidangan Europa.
Menurut BBC, ia disebabkan syarikat milik Sir Jim Ratcliffe, Ineos memegang pegangan pemilikan majoriti di OGC Nice dan sebahagian kepentingan di United.
The Red Devils layak ke Liga Europa selepas menjadi juara Piala FA menewaskan Manchester City 2-1 baru-baru ini manakala Nice pula menamatkan saingan Ligue 1 di kedudukan kelima untuk mengesahkan slot ke saingan Eropah itu.
Namun, peraturan UEFA tidak membenarkan dua pasukan yang mempunyai pemilik yang sama bermain dalam pertandingan itu.
Oleh itu, Manchester United boleh ditendang ke Liga Persidangan kerana mereka menamatkan saingan di kedudukan lebih rendah dalam Liga Perdana Inggeris berbanding Nice dalam Ligue 1 musim lalu.
Ineos perlu membuktikan kepada UEFA bahawa kedua-dua kelab mempunyai struktur pemilikan yang berbeza dan tidak sejajar dalam apa jua cara atau bentuk.
Ini sama seperti bagaimana pasukan Belgium Union SG terpaksa menukar struktur pemilikan mereka musim lalu untuk membolehkan mereka bermain dalam Liga Europa bersama Brighton.
Ini kerana Tony Bloom mempunyai kepentingan pemilikan dalam kedua-dua kelab.
Ineos bagaimanapun yakin bahawa mereka akan mencari jalan untuk memastikan kedua-dua pasukan iaitu Manchester United dan Nice boleh bermain dalam Liga Europa musim depan.
Mereka membuat kenyataan mengenai perkara ini yang berkata: "Kami sedar kedudukan kedua-dua kelab dan sedang berdialog terus dengan UEFA. Kami yakin kami mempunyai laluan ke hadapan untuk musim depan di Eropah," katanya. - Sinar Harian