Skip to main content

Bola Sepak

Manaf tekad balas kepercayaan Kuantan FA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

manaf-mamat.jpg
Penyerang berpengalaman, Abdul Manaf Mamat, terasa dirinya begitu dihargai di Kuantan FA selepas diturunkan dalam tiga aksi Liga Perdana. 

Tahun lalu, Manaf hanya menyumbat satu gol sepanjang 16 penampilan bersama Kuala Lumpur. 

Tidak kecewa dilepaskan The City Boys yang dinobatkan juara Liga Perdana, Manaf mahu membuka haluan baru bersama Kuantan FA musim ini. 

Selepas tiga perlawanan, Manaf menjadi nadi penting dengan membentuk rangkaian bersama seorang lagi penyerang, Zarko Korac. 

"Saya kerap diturunkan oleh jurulatih, Ismail Zakaria, dan sedikit-sebanyak ia membantu mengembalikan semula sentuhan sebenar saya.

"Prestasi saya bagaimanapun masih lagi kurang menjadi memandangkan kami hanya mampu menyumbat satu gol dalam sesebuah perlawanan setakat ini.

"Insya-Allah saya akan cuba tingkatkan prestasi semasa dalam latihan, lagipun Korac tidak dapat bermain dalam perlawanan pertama lalu membuatkan persiapan kami agak kelam-kabut," katanya. 

Sebagai motivasi, bekas penyerang Terengganu itu meletakkan sasaran 10 gol bersama majikan barunya itu. 

Malah, dia optimis Kuantan FA mampu mencabar lima pasukan terbaik Liga Perdana berdasarkan kualiti yang dimiliki pemain. 

"Saingan Liga Perdana tahun ini sengit dengan kehadiran pasukan seperti Felda dan Felcra. Insya-Allah kami akan memberi cabaran sengit. 

"Kami perlu mengekalkan momentum ini dan tampil lebih baik lagi," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video