Mahali masih belum mahu bersara sebagai pemain biarpun kini di kaca TV

Muzaffar Musa
April 5, 2024 21:44 MYT
Meskipun sudah menceburi bidang penyiaran sebagai tetami pakar, cinta Mahali Jasuli sebagai pemain bola sepak masih belum pudar.
Bekas pertahanan Harimau Malaya itu ternyata belum bersedia untuk mengumumkan persaraannya dan masih mahu menabur bakti dalam arena bola sepak tempatan.
Difahamkan, pemain versatil berusia 35 tahun itu akan memperkuatkan KL Rovers dalam saingan Liga M3 musim depan.
"Secara jujurnya saya masih belum mahu bersara daripada bidang bola sepak," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kerjaya penyiaran ini adalah praperalihan untuk saya sekiranya sudah bersara sepenuh masa nanti.
"Tetapi buat masa ini, dengan apa yang dirancang Astro, saya mungkin tidak dipanggil sekerap tetamu pakar yang lain.
"Saya masih belum buat keputusan tetapi saya sudah ada kesepakatan dengan pasukan daripada Liga M3 tetapi masih belum dimuktamadkan dengan kontrak.
"Mungkin ia akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Liga M3 #Mahali Jasuli #KL Rovers FC
;