PIALA MALAYSIA
Magrao tuntut anak buah atasi Felda United
Selepas gah menerajui Liga Perdana, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, menuntut anak buahnya bangkit dalam saingan Piala Malaysia apabila turun berdepan pasukan Liga Super, Felda United, malam esok.
Skuad warga kota itu berada dalam momentum terbaik selepas cemerlang menundukkan PDRM 3-0 dalam aksi Liga Perdana, Selasa lalu.
Kuala Lumpur bakal turun dengan misi wajib menang ke atas Felda United bagi menghidupkan semula peluang mereka setelah mencatat satu kekalahan dan dua seri untuk menghuni tangga ketiga dalam Kumpulan B.
Iklan
"Kedudukan kami amat baik dalam saingan liga, jadi kami perlu melakukan perkara sama dalam saingan Piala Malaysia.
"Felda United pasukan yang kuat, jadi kami menjangkakan saingan sengit kerana kami juga memiliki skuad yang berkualiti," katanya.
Anak buah Magrao berjaya mengikat Felda United tanpa jaringan dalam pertembungan pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, 4 Julai lalu.
Bekas jurulatih Timor Leste itu percaya anak buahnya mampu menghadirkan tentangan sengit terhadap lawan dengan kembalinya tonggak skuad bawah 22 tahun negara, Irfan Zakaria.
"Mereka telah membuktikan kemampuan masing-masing ketika kami berdepan PKNS FC di mana saya membuat lapan perubahan terhadap kesebelasan utama.
"Esok kami akan menilai keadaan pemain dan daripada situ, kami akan menentukan siapakah yang akan membarisi kesebelasan utama," tambahnya.
Must-Watch Video