LALIGA
Madrid sahkan kecederaan paha Isco
Isco menyertai senarai kecedeaan Real Madrid yang kian menggunung selepas disahkan mengalami kecederaan paha.
Hasil ujian awal pagi tadi mendapati terdapat kecederaan otot di paha kanan pemain tengah berkenaan.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu dikeluarkan pada minit ke-68 ketika Madrid terikat 1-1 dengan Real Valladolid di laman sendiri hujung minggu lalu.
Pasukan gergasi LaLiga itu mengesahkan kecederaan tersebut tidak terlalu serius, namun pemain berusia 27 tahun berkenaan berkemungkinan akan terlepas kunjungan ke Villarreal, awal pagi Isnin ini.
"Pemulihannya akan terus dipantau," tambah kelab itu dalam satu kenyataan.
Kecederaan Isco merupakan satu lagi tamparan buat pengendali Los Blancos, Zinedine Zidane, yang turut kehilangan khidmat Eden Hazard, Ferland Mendy dan Marco Asensio sepanjang dua perlawanan pertama musim ini.
Pasukan itu turut kehilangan James Rodriguez gara-gara kecederaan betis manakala pemain muda, Rodrygo Goes dan Brahim Diaz, masih diketepikan.
Isco turut berkemungkinan direhatkan daripada tugasan antarabangsa dalam pusingan kelayakan Euro 2020 apabila negaranya berdepan Romania dan Kepulauan Faroe, masing-masing pada 5 dan 8 September ini.