LIGA WANITA
LWN: Zerry Nazeri tuntut SSMP baiki sistem pertahanan pasukan
Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang, Zerry Nazeri, mahu anak-anak buahnya melihat kekalahan besar kepada pasukan Selangor sebagai medan untuk memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan seterusnya.
SSMP bakal turun berdepan dengan pasukan Melaka yang merupakan pendahulu Liga Wanita Nasional (LWN) dijangka enggan memberi laluan mudah untuk mengutip tiga mata penuh.
Zerry Nazeri menuntut skuad kendaliannya memperkuat posisi pertahanan terhadap kelompongan yang perlu ditambah baik selain keseimbangan permainan juga harus dititik-beratkan.
"Jika kami terlalu memberi peluang kepada pemain lawan yang berpengalaman, mereka akan kerap melakukan percubaan berbahaya ke arah gol.
"Kami harus sedar dan perlu mengubah corak pertahanan supaya dapat memberi tekanan kepada pihak lawan," katanya.
Sementara itu, pemain tengah, Nurhadfina Mohd Firdaus, mengakui skuadnya yang terdiri daripada ramai muka baharu jelas memberi cabaran untuk mencari keserasian dalam pasukan.
Perkara tersebut merupakan tonggak penting dalam memastikan formasi dan corak permainan sesuai dengan pelan yang dirangka jurulatih.
"Kelemahan paling utama dalam pasukan kami ialah tahap stamina, jadi kami perlu membuat latihan tambahan untuk meningkat tahap kecergasan," kata Hadfina.