LIGA WANITA

LWN: Pendekatan istimewa Melaka, ambil maklum kitaran haid pemain

Najmi Iman 22/07/2024 | 13:11 MYT
Melaka mencatatkan kemenangan kedua sepanjang tiga minggu perlawanan berdepan Malaysian Universiti untuk menduduki tangga ketiga Liga Wanita Nasional 2024 sekali gus memasang impian untuk mencabar kejuaraan saingan yang didominasi oleh Kelana United.
Selepas mengumpul sebanyak enam mata, pasukan Melaka memperagakan persembahan memukau selain memburu kemenangan seterusnya tatkala Selangor dan Sabah juga sedang mengekor rapat carta kedudukan liga.
Pun begitu, pendekatan istimewa yang dilakukan oleh skuad kendalian Kok Keng Lin itu sangat mencuri tumpuan selepas mengambil kira tahap kasihatan paling utama dalam kalangan wanita.
Teknik yang diamalkan sangat mengambil berat prestasi pemain berbanding pasukan lain kerana ia melibatkan kualiti permainan yang ditonjolkan setiap pemain.
Menurut pengendali tersebut, pemain perlu melaporkan sendiri tempoh menstruasi sebelum membuat keputusan untuk membentuk pasukan menghadapi cabaran pihak lawan.
Hal ini kerana, barisan kejurulatihan terlebih dahulu harus mengetahui kadar kesihatan pemain tatkala faktor kitaran haid menjadi keutamaan sebelum membuat keputusan memilih pemain.
Berikutan aspek tersebut, pemain yang didatangi haid pada hari pertama dan kedua, tidak akan diturunkan susulan kesukaran menonjolkan aksi terbaik di atas padang.
Pemain yang berada di pertengahan dan penghujung kitaran haid berkemungkinan tinggi untuk diturunkan kerana faktor kecergasan yang semakin optimum.
#Melaka #Liga Wanita Nasional #Kitaran Haid
;