Luqman Hakim menyertai Selangor II terlebih dahulu sebelum dia sepatutnya berkelana ke KV Kortjik, Mac lalu, dan dalam tempoh itu, bekas penuntut Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tersebut sempat dipalit beberapa kontroversi mengenai hala tujunya sebelum FAS dalam satu kenyataan malam tadi mengumumkan penghijrahannya ke kelab Belgium berkenaan.
"Dalam kontrak bersama kami, Luqman Hakim akan dilepaskan secara percuma kalau dia mendapat tawaran dari luar negara.
"Luqman Hakim memikirkan persiapan yang terbaik (buat dirinya) sebagai persiapan mewakili negara kelak.
"Dia mahu diberi jaminan untuk peluang tugasan bersama negara dan menjalani persiapan yang lebih baik daripada di Malaysia.
"Itulah pertimbangan yang mengambil masa yang lama dan perjanjian itu adalah jelas sebenarnya.
"Dia akan dibenarkan untuk menyertai skuad B-19 negara, itulah syarat utama yang ditetapkannya bagi menyertai kelab Belgium berkenaan.
"Ia satu karakter yang kami sangat sanjungi," kata Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, ketika ditemu ramah wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.
WE HAVE LUQMAN IN THE ?! Jangan lupa untuk saksikan pemain Selangor 2, Luqman Hakim dalam rancangan temubual FAS, ONE...
Posted by FA Selangor on Friday, July 3, 2020
Atas dasar misi negara dan pemilik KV Kortrijk sendiri dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengharapkan pertimbangan wajar buat bintang dalam ciptaan itu kembali ke Malaysia bagi menyempurnakan misi dalam Kejohanan AFC B-19, Oktober depan.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menganggap perkara itu bukan masalah utama lagi jika sebelum ini pertimbangan produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkenaan tampak berbelah bahagi, di antara cita cita dan keinginan untuk membantu pasukan negara layak ke Piala Dunia B-20.
"Terdapat kelonggaran dalam kontraknya untuk membolehkannya hadir dalam persiapan bersama skuad negara.
"Menerusi pemilik kelab itu yang berasal dari Malaysia, agenda negara akan diutamakan.
"Kami berasa perkara ini boleh diselesaikan dengan budi bicara dan tiada masalah.
"Jika semua dokumensi telah dijelaskan di antara kelab itu dan pelepasannya diterima, maka FAM akan mengeluarkan Sijil Pelepasan Antarabangsa (ITC) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Proses ini hanya akan memakan masa selama seminggu jika proses itu sudah dimulakan di peringkat kelab (terlebih dahulu)," kata Stuart.