Luqman Hakim main peranan kemenangan Kortrijk
Shaiful Shamsudin
Julai 3, 2021 03:06 MYT
Julai 3, 2021 03:06 MYT
Club Brugge 0 KORTRIJK 1
Taji penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, makin kerap diuji pasukan KV Kortrijk menjelang musim baru.
Produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu membantu kelab Belgium berkenaan merakamkan kemenangan tipis ke atas juara Pro League 2020/21, Club Brugge, dalam persiapan pra-musim sebentar tadi.
Luqman Hakim mempunyai pendedahan yang baik apabila dimasukkan pada minit ke-84, enam minit sebelum ledakan kaki kiri Nihad Mujakic.
Menyarung jersi nombor 99, Luqman Hakim tidak kekok untuk memberikan tekanan terhadap pertahanan lawan dan cabaran fizikal ketika membantu menutup ruang pada saat lawan cuba mengatur serangan.
Ia peluang kedua berturut-turut pemain berusia 19 tahun itu dalam usaha menambat hati Luka Elsner.
Pengurus muda dari Slovenia itu mengamalkan hantaran pendek yang bermula dari belakang sebagaimana ciri permainan bola sepak moden.
Dua hari lalu, Luqman Hakim turut memainkan peranan sekitar setengah jam ketika membenam KFC Sparta Pategem 4-0.
Agenda memantapkan pasukan akan diteruskan dalam perlawanan pemanas badan dengan melakukan kunjungan terakhir apabila bertemu kelab Belanda, Heerenveen, Sabtu depan, sebelum kempen kompetitif membuka tirai berdepan RFC Seraing, 25 Julai depan.