BOLA SEPAK
Luqman Hakim diumum pemain baru kelab Iceland, Njardvik
Penyerang negara, Lukman Hakim Shamsudin, diumumkan sebagai pemain baru kelab Iceland, Njardvik FC, sebentar tadi.
Njardvik, yang beraksi dalam liga kedua Iceland, mendatangkan pemain negara itu secara pinjaman semusim daripada kelab Belgium, KV Kortrijk.
"Luqman Hakim sertai Njardvik," demikian diumumkan kelab itu dalam laman web rasmi mereka.
"Kelab Bolasepak Njardvik telah mencapai kesepakatan dengan kelab Liga Perdana Belgium, KV Kortrijk, untuk mendapatkan khidmat Luqman Hakim secara pinjaman sehingga penghujung musim 2023."
Luqman Hakim, 20, menyertai Kortrijk pada 2020 dan telah melakukan dua penampilan bersama skuad senior pasukan itu, termasuk satu penampilan musim ini, selain kerap diturunkan dalam skuad perlawanan skuad B-21 dan pasukan simpanan kelab itu.
Pada 2019, dia pernah tersenarai sebagai 60 pemain muda paling berpotensi oleh akhbar The Guardian dan setakat ini, pemain kelahiran Kota Bharu itu telah mengumpulkan sembilan penampilan bersama skuad senior kebangsaan.
Luqman Hakim dilaporkan telah tiba di Iceland dan mendapat sambutan hangat daripada kelab barunya itu.