BOLA SEPAK
Luqman Hakim akhirnya dapat minit permainan musim ini
Penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin, akhirnya mendapatkan minit permainan penampilan senior pertamanya musim ini bersama KV Kortrijk dalam saingan Divisyen Pertama A Belgium ketika menentang Westerlo malam kelmarin.
Luqman Hakim, yang diletakkan di bangku simpanan, mendapat kepercayaan pengendali Kortrijk, Adnan Čustovic, untuk diturunkan pada minit ke-88.
Bagaimanapun aura pemain berusia 20 tahun itu, yang menggantikan penyerang dari Uruguay, Felipe Avenatti, bagi baki dua minit terakhir gagal membantu Kortrijk melakar keputusan positif.
Jaringan Nicolas Madsen (48') dan Nene Dorgeles (83') sudah cukup membolehkan Westerlo kendalian Jonas De Rock membawa pulang tiga mata.
Aksi di Stadium Guldensporen itu juga menyaksikan Kortrijk terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Habib Guèye dilayangkan kad merah pada minit ke-26.
Kekalahan kesembilan selepas mengharungi 14 perlawanan menyaksikan Kortrijk kini berada di kedudukan kedua tercorot dalam kalangan 18 pasukan bertanding dengan mengumpulkan 11 mata.
Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini mencipta sensasi apabila menandatangani kontrak profesional bersama Kortrijk pada 2019, sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Belgium.
Luqman membuat penampilan senior pertamanya untuk Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika menentang Anderlecht selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74.
Kredit: Sinar Harian