Skip to main content

Bola Sepak

Lucas Torreira tak mungkin berpaling lagi ke Arsenal

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

torreira.jpg
Lucas Torreira tidak melihat sebarang peluang untuknya kekal di Arsenal walaupun melihat urusan perpindahan tetapnya ke Fiorentina gagal.

Pemain tengah Uruguay itu dipinjamkan ke kelab Serie A berkenaan sepanjang musim lalu tetapi kelab berkenaan enggan membayar €15 juta (RM69.03j) yang telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjamannya.

Torreira menggunakan media sosial untuk mengecam pihak yang telah "bertindak dengan cara yang buruk" berikutan kegagalannya ke Fiorentina, sekali gus meletakkan masa depan pemain berusia 26 tahun itu dalam keadaan tidak menentu tatkala dia menuju ke tahun terakhir perjanjiannya dengan kelab London tersebut.

Bagaimanapun, Torreira menegaskan tidak ada peluang mahupun pusingan U untuknya kekal di Arsenal, dan dia tetap mengintai peluang untuk meninggalkan Stadium Emirates.

"Tiada peluang. Dari awal-awal lagi mereka sudah memberitahu bahawa saya tidak mempunyai tempat," katanya kepada El Telegrafo.

“Saya juga tidak mahu kekal kerana saya banyak menderita, saya perlu banyak menyesuaikan diri dan hajat saya adalah untuk ke Itali atau Sepanyol.


 

"Apa yang saya mahukan ialah kekal di Fiorentina tetapi ia tidak berlaku atas pelbagai sebab, jadi kami akan mencari hala tuju baru."

Pemain tengah itu juga disebut-sebut kembali ke Boca Juniors tapi dia menafikan khabar angin berkenaan sambil menambah: "Saya benar-benar mahu pergi ke sana, lagipun saya mempunyai musim yang sangat baik dan mempunyai setahun kontrak lagi dengan Arsenal.

"Mana-mana pasukan yang mahukan saya, perlu membeli saya kira-kira €15j. Jadi itulah sebab saya melihatnya sebagai sukar, walaupun saya tidak pernah putus harapan. 

"Cinta saya terhadap kelab itu mendalam dan pada satu ketika saya ingin bermain lagi di sana."

Torreira menyertai Arsenal pada 2018 tetapi kehilangan tempat selepas dilanda kecederaan buku lali pada Mac 2020. 

Dia menghabiskan musim 2020-21 dipinjamkan ke Atletico Madrid sebelum berkhidmat untuk Fiorentina musim lalu.

Advertisement

Must Watch Video