Skip to main content

Bola Sepak

Los Blancos tampil aksi longlai, tetap ke suku akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

madrid_1.jpg
REAL MADRID 2 NUMANCIA 2

Kelab dari LaLiga 2, Numancia, mencipta kejutan apabila mengikat Real Madrid 2-2 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Raja Sepanyol di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Bagaimanapun, hasrat Numancia untuk mara ke suku akhir tetap tidak berjaya apabila tewas 5-2 menerusi agregat.

Pemain sayap Sepanyol, Lucas Vazquez, terlebih dahulu menggembirakan penonton di Bernabeu apabila menanduk masuk bola hantaran lintang Daniel Carvajal untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-11.

Biarpun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, serangan balas yang pantas daripada pelawat gagal dikekang oleh anak-anak buah Zinedine Zidane, membolehkan Guillermo menyempurnakan hantaran leret dari Marc Mateu pada minit ke-45, sekaligus mengikat kedudukan menuju ke waktu rehat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah cuba memperkemaskan permainan dan hasilnya, Vazquez sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring apabila mudah menolak bola masuk menewaskan penjaga gol lawan, Munir, pada minit ke-59 untuk kembali meletakkan Los Blancos di depan.

Zidane mengubah taktikal untuk lebih menguasai bahagian tengah apabila memasukkan Isco dan Casemiro untuk menggantikan Marco Asensio dan Borja Mayoral, namun situasi sebaliknya berlaku apabila pelawat meraih gol penyamaan.

Sekali lagi Guillermo menafikan pendahuluan tuan rumah menerusi lonjakan tinggi dan menanduk bola masuk menewaskan Kiko Casilla pada minit ke-82 selepas menerima umpanan dari sebelah kiri oleh Saul Garcia, bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Walaupun Numancia beraksi dengan 10 pemain di penghujung perlawanan selepas Dani Calvo dilayangkan kad merah, skuad bimbingan Zidane tetap gagal meraih gol kemenangan dan kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat serta mengesahkan tempat dalam suku akhir buat Madrid.
 

Advertisement

Must Watch Video