LIGA INGGERIS
Liverpool waspada tangani kecergasan Thiago Alcantara
Thiago Alcantara tidak akan terburu-buru untuk dipertaruhkan sekalipun sudah kembali menjalani latihan bersama skuad utama Liverpool, menurut pengurus, Jurgen Klopp.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu terpinggir lebih dari dua bulan sejak mengalami kecederaan lutut dalam aksi 'derby Merseyside' menentang Everton pada 17 Oktober lalu.
Selepas positif COVID-19, pemain berusia 29 tahun itu hanya sempat beraksi dua kali bersama juara bertahan berkenaan sejak tiba dari Bayern Munich.
Iklan
Dia terbabit dalam sesi persiapan semalam, namun Klopp pada hari ini mengesahkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu West Brom terlalu awal buatnya sambil pengurus itu menawarkan berita yang lebih baik mengenai kemungkinan kembalinya Xherdan Shaqiri dan James Milner.
"Thiago membuat langkah pertamanya apabila kembali ke sesi latihan pasukan," katanya dalam sidang media.
"Dia tidak terlibat dalam sesi penuh tetapi ia satu langkah yang baik. Sayangnya, selepas sekian lama kami tidak dapat menggunakan khidmatnya jadi kami tidak akan tergesa-gesa.
"Ada pemain yang semakin pulih. Shaqiri berlatih dengan sangat baik. Milly menjalani latihan penuh semalam dan hari ini semakin cergas.
'Twas the final session before Christmas... ? pic.twitter.com/ak7IakCTQz— Liverpool FC (@LFC) December 24, 2020
"Ini satu situasi yang pelik bagi kami kerana kami masih mempunyai dua hari lagi sebelum kami perlu membuat keputusan tetapi saya belum pasti. Thiago tidak akan terlibat, dia perlu menjalani latihan penuh terlebih dahulu. Dia tidak terlalu jauh, itu yang saya harapkan."
Selepas menempuhi enam perlawanan dalam tempoh 19 hari, Liverpool menikmati jurang lapan hari di antara kemenangan 7-0 ke atas Crystal Palace pada hujung minggu lalu sebelum berkunjung ke West Brom, tengah malam Isnin ini.
Klopp menjelaskan kesempatan itu membolehkan pemainnya menjalani latihan yang lebih bervariasi, justeru dia yakin mereka mampu bertahan dengan baik menjelang musim Krismas dan Tahun Baru yang sibuk.
"Minggu ini adalah minggu yang sangat penting," tambahnya.
"Hari ini kami berpeluang mengadakan lebih kurang tiga sesi latihan sejak kami awal musim lalu. Kami dapat mengetengahkan 11 lawan 11, taktik dan semua elemen termasuk memberi tekanan, serangan balas dan segala perkara. Kami tidak berkesempatan untuk melakukannya.
"Jadi, ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya menekankan gaya permainan kami. Pemain saling memahami, mereka penting dan kami akan memanfaatkan khidmat mereka.
"Ketika menentang Tottenham, punca kami tidak melakukan penggantian pemain kerana mereka semua tidak mempunyai rentak selain perlawanan juga sangat sengit. Kini mereka selangkah lebih maju."
Must-Watch Video