Liverpool telah bersetuju dengan perjanjian bernilai £12 juta (RM70.7j) selain bonus untuk menjual Jordan Henderson kepada kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq, menurut laporan PA.

Pemain berusia 33 tahun itu dipercayai telah mencapai persetujuan lisan dengan kelab itu -- yang kini diuruskan oleh bekas rakan sepasukan di Anfield, Steven Gerrard -- untuk menikmati gaji bernilai £700,000 (RM4.1j) seminggu.

Kapten The Reds itu berada di Jerman untuk turut serta mengikuti jelajah pra-musim tetapi diketepikan daripada kendalian skuad Jurgen Klopp itu ketika bertemu Karlsruhe dalam perlawanan persahabatan pertama mereka semalam.



Dia telah membuat 491 penampilan sejak dipancing daripada Sunderland dengan harga £20j (RM117.8j) pada 2011 dan menerajui pasukan itu untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta Liga Juara-Juara (UCL).

Dia juga sempat memenangi Piala FA dan dua Piala Liga Inggeris (EFL).