LIGA INGGERIS

Liverpool tenang tahap kecederaan Salah

Shaiful Shamsudin 13/03/2022 | 02:35 MYT
Mohamed Salah memberi jaminan bahawa Jurgen Klopp tidak perlu bimbang mengenai tahap kecederaannya selepas dikeluarkan dalam kemenangan Liverpool di Brighton & Hove Albion, malam tadi.
Penyerang berbisa terbabit menyumbat gol ke-2,000 Liga Perdana Inggeris (EPL) buat The Reds, sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-0 di Stadium Amex sebelum digantikan tidak lama selepas itu.
Liverpool akan mengadakan lawatan ke Arsenal, Khamis depan, dan pengurus itu mahu Salah bersedia untuk pertembungan dengan pasukan kendalian Mikel Arteta tersebut.
"Kita akan lihat," kata Klopp di BT Sport.
“Dia kata ia tidak serius tetapi anda dapat lihat apabila Mo Salah duduk, ada sesuatu yang tidak kena.
"Saya fikir ia berkait rapat dengan situasi ketika dia cuba menyepak bola dan ia dihadang, saya rasa ada sedikit impak. Kami perlu menilainya lebih lanjut."
Luis Diaz terlebih dahulu meletakkan pelawat di depan dengan tandukan berani tatkala pasukan bimbingan Klopp itu cuba mengurangkan kelebihan Manchester City di carta liga kepada tiga mata.
Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, pula berkata: "Ia adalah satu perlawanan yang mengagumkan daripada kami pada hari ini dan saya rasa kami berjaya melaksanakannya.
"Kami sentiasa mahukan gol kedua untuk cuba mematikan permainan. Kami mempunyai satu atau dua peluang lagi untuk menjaringkan gol.
"Secara keseluruhannya, saya fikir kami sangat gembira dengan prestasi keseluruhan perlawanan ini."