Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool rapatkan jurang dengan City selepas belasah Leeds

mohamed-salah.jpg
LIVERPOOL 6 LEEDS UNITED 0

Mohamed Salah menjaringkan dua gol sepakan penalti ketika Liverpool merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, kepada tiga mata selepas membelasah Leeds United 6-0 di Anfield awal pagi tadi.

Salah menjaringkan dua gol yang mengapit jaringan gemilang Joel Matip untuk pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu memperoleh kelebihan selesa menuju ke bilik persalinan.

Sadio Mane kemudian menambah dua lagi gol buat Liverpool, masing-masing pada minit ke-80 dan 90, sebelum Virgil van Dijk melengkapkan hari gemilang The Reds dengan gol penutup dalam waktu kecederaan.

Kemenangan bergaya itu juga membuka harapan buat Liverpool untuk memintas skuad kendalian Pep Guardiola, City, dalam perebutan gelaran EPL musim ini selepas pendahulu liga itu tewas kepada Tottenham hujung minggu lalu.

Dua pasukan itu juga masih belum bertemu di Stadium Etihad musim ini, sekali gus menyaksikan perlawanan itu berkemungkinan akan menjadi detik penentu kejuaraan edisi kali ini.

Liverpool seterusnya akan ke Wembley bagi pemburuan trofi pertama musim ini, di mana mereka akan berdepan Chelsea dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi Isnin ini.
 
 

Advertisement

Must Watch Video