UCL

Lindelof tiada dalam senarai skuad Man Utd ke Atalanta

Shaiful Shamsudin 02/11/2021 | 04:21 MYT
Victor Lindelof akan terlepas perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di antara Manchester United dan Atalanta selepas mengalami kecederaan dalam latihan semalam.
Justeru, kelab itu mendedahkan pertahanan tengah itu tidak membuat perjalanan ke Bergamo menjelang pertembungan Kumpulan F, awal pagi esok.
Lindelof membarisi benteng United di samping Harry Maguire dan Raphael Varane ketika mereka mengalahkan Tottenham 3-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Jika Ole Gunnar Solskjaer ingin terus kekal dengan ramuan tiga pertahanan, maka Eric Bailly tampaknya bakal menjadi pilihan untuk menggantikan Lindelof ketika mereka menentang Atalanta.
Luke Shaw juga boleh berpindah ke bek tengah dengan sayap kiri boleh ditampung oleh Alex Telles.
Lindelof telah memulakan ketiga-tiga perlawanan UCL musim ini dalam enam daripada 10 perlawanan liga.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
United berada di tangga teratas Kumpulan F biarpun bergelut untuk menang ke atas Villarreal dan Atalanta selepas tewas mengejut kepada Young Boys untuk membuka saingan peringkat kumpulan.
Sementara itu, pemain tengah, Bruno Fernandes, menjelaskan peranannya yang sedikit berbeza pada hujung minggu lalu apabila beraksi di belakang dua penyerang dan bukannya penyerang tunggal sambil diapit oleh dua pemain sayap seperti lazimnya.
Pemain antarabangsa Portugal itu memperagakan persembahan yang baik secara individu apabila menjana tiga hantaran penting -- termasuk hantaran menarik untuk voli menakjubkan Ronaldo -- selain memainkan peranan utama untuk jaringan Cavani selepas dia merampas bola daripada Oliver Skipp dalam gerakan berkenaan.
Bagaimanapun. selagi dia mampu membekalkan hantaran kepada barisan hadapan, dia tidak peduli siapa yang dipilih Solskjaer di jentara serangan.
"Secara jujur, saya fikir kami mempunyai kualiti yang begitu baik, bukan hanya menerusi mereka (Cavani dan Ronaldo)," katanya.
"Mereka menjaringkan gol jadi ia mempengaruhi sebahagian besar keputusan terdahulu, tetapi sejujurnya ​​saya rasa kualiti yang kami ada memudahkan saya bermain di belakang mana-mana penyerang dan membuat umpanan kepada mereka. Kesemua mereka boleh menjaringkan gol. Mereka semua berbeza tetapi mampu menjaringkan banyak gol. Bila-bila masa dan dari mana-mana posisi di atas padang.
"Kami mempunyai banyak bakat dalam pasukan ini -- Edi, Cristiano, Anthony Martial, Marcus Rashford, Jadon Sancho -- tanpa mengira siapa yang diturunkan. Saya tahu saya ada di sana untuk cuba menyalurkan hantaran untuk mereka dan membuat mereka gembira."
United yang terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum menewaskan Atalanta dalam perlawanan terakhir UCL juga menyasarkan untuk mengelak kekalahan keempat perlawanan berturut-turut di tempat lawan dalam saingan elit Eropah atau Piala Eropah.
#Manchester United #EPL #UCL #Liga Juara-Juara #Liga Perdana Inggeris
;