LIGA SUPER MSIA

Lim Teong Kim-Perak FC belum capai kata sepakat

Shaiful Shamsudin 03/08/2023 | 10:36 MYT
Proses rundingan damai di antara Datuk Lim Teong Kim dan pihak pengurusan Perak FC menemui jalan buntu berikutan tiada kata sepakat dicapai dalam pertemuan yang berlangsung di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Ipoh, hari ini.
Dalam pertemuan kali kedua ini, Teong Kim hadir bersama peguamnya, Adam Yap, manakala Perak FC diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Meor Azli Meor Mahmood.
Bekas pengendali Sang Seladang itu berharap isu ini dapat diselesaikan segera dengan cara yang baik, namun jika kekal tiada kata sepakat yang dicapai, maka perkara ini akan dirujuk ke mahkamah perusahaan dan satu perbicaraan akan dijalankan.
Teong Kim turut memaklumkan bahawa pertemuan seterusnya akan diadakan pada 26 Igos depan.
Untuk rekod, pada 27 Jun yang lalu, pengendali berusia 59 tahun itu memfailkan representasi dengan JPPM Negeri Perak berhubung penamatan kontraknya bersama kelab dan tuntutan bayaran baki gaji selama 16 bulan hingga September 2024.
"Secara amnya kedua-dua pihak ada berbincang dan ada juga berganjak tetapi tidak dapat mencapai satu keharmonian setakat ini.,
"Usaha akan dibuat sekali lagi untuk mencapai keharmonian ini untuk keharmonian perusahaan.
"Tetapi (peluang) kali terakhir adalah sampai hujung bulan ini," kata Adam Yap.
Mahkamah Perusahaan akan buat keputusan yang sewajarnya tetapi setiap pihak mempunyai prinsip ataupun sebab tersendiri dan sebab tersendiri dan sinilah wujudnya pendamaian untuk mengeratkan apa-apa jurang di antara kedua-dua belah pihak," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, memaklumkan pihaknya menghormati hak serta tindakan Teong Kim, namun kekal dengan pendirian kelab seperti sebelum ini.
Jelasnya lagi, mereka akan berikan kerjasama untuk sebarang proses yang ditetapkan oleh JPPM dan bersedia seandainya perkara ini dibawa ke perbicaraan mahkamah.
"Kami kekal dengan pendirian kami dan dia boleh buat apa apa yang dia fikir betul.
"Kami dah berbincang dua kali jadi kami akan teruskan ke hadapan dan kami cuma ikut apa yang dia minta," katanya.
#Lim Teong Kim #Perak FC
;