BOLA SEPAK
Liga Wanita Nasional medan cungkil bakat
Liga Wanita Nasional (LWN) yang buat julung kalinya diadakan secara rasminya membuka tirai di Stadium UiTM, hari ini dengan membabitkan lapan pasukan yang bakal berentap merebut gelaran juara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang hadir merasmikan majlis itu menganggap inisiatif seperti ini perlu dilakukan untuk memartabatkan sukan bola sepak dalam kalangan pemain wanita.
"Saya akan adakan sesi perjumpaan bersama atlet dan jurulatih wanita untuk melihat ekosistem (mereka).
Iklan
"Kalau kita hendak perbanyakkan jurulatih wanita, kita kena wujudkan lebih banyak kelab jadi kita kena duit dan perbelanjaan yang mencukupi.
"Jadi keseluruhan sistem itu harus diperkasakan," katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam.
Dalam masa sama, ketua jurulatih skuad wanita negara, Soleen Al-Zou'bi, menzahirkan rasa gembira apabila akhirnya liga wanita diwujudkan.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan pemain yang berkualiti harus dilakukan agar bakat pemain dapat diterjemahkan di atas padang, sekali gus menempatkan skuad negara setanding pasukan luar.
"Kami mencapai kemajuan secara berperingkat.
"Kalau saya dapat cungkil seorang pemain sekalipun, ia tetap bagus tapi saya mengharapkan lebih banyak lagi.
"Sudah tentu (program) akan memberi faedah buat pasukan kebangsaan dan negara," katanya.
Dalam perlawanan pembukaan itu, Selangor memungut tiga mata selepas mengatasi Malaysia Universiti 1-0 hasil sentuhan pemusnah Dian Aqilah Suhaidi.
Must-Watch Video