Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, mengakui kecewa apabila aksi pasukannya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa ditunda ke tarikh baru berikutan cuaca buruk di Ipoh malam ini.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur untuk memanfaatkan tempoh rehat panjang selepas ini, di mana The Bos Gaurus akan menghadapi Negeri Sembilan di Paroi pada 14 September depan.

Aksi di Stadium Perak malam ini hanya dapat berlangsung kurang daripada tiga minit sebelum komisar perlawanan memilih untuk menghentikannya ekoran hujan lebat.

Perlawanan berkenaan akan disambung pada satu tarikh yang akan ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Sudah pasti saya amat kecewa dengan penundaan perlawanan tetapi saya tidak boleh berkata lebih daripada itu kerana pihak pengadil telah memberi isyarat bahawa perlawanan terpaksa ditunda kepada tarikh yang baru," kata Yusri seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Bagi pasukan kami, kami perlu memulakan langkah lain. Kami terpaksa berehat seketika.

"Walaupun kami mengharapkan perlawanan kompetitif seperti ini, ia tidak dapat berlangsung.

"Tetapi kami bersyukur dengan keadaan seperti ini dan tempoh yang ada ini akan kami gunakan sebaik mungkin untuk aksi bertemu Negeri Sembilan di laman lawan nanti," katanya.