BOLA SEPAK
Liga Super Wanita: NSW anggap kehadiran pemain kebangsaan bukan satu jaminan
Pemain NSW FC, Natasya Mohammed Najeeb, enggan terlalu yakin untuk mengungguli Liga Super Wanita Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) biarpun pasukannya mempunyai ramai pemain kebangsaan ketika berhitung dengan The Footsouls.
"Saya tidak berapa kenal (kemampuan) pasukan lawan. Kami memang pernah bertemu dalam persahabatan tapi itu adalah medan ujian.
"Peluang 50-50 buat setiap pasukan.
Iklan
"Mana-mana pasukan yang berhempas-pulas selama 90 minit permainan dan kurang buat silap pasti akan muncul juara," kata Natasya menjelang perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Rabu ini.
Dalam masa sama, Nurul Nadia Roslan, daripada pasukan The Footsouls meluahkan kebimbangannya terhadap keserasian pasukan yang belum mencapai kemuncak susulan kekangan masa latihan, namun tetap sedia memberi saingan terbaik demi piala yang diimpikan.
Dia merupakan penjaring terbanyak dengan 10 gol diikuti pemain NSW, Malini Nordin, dengan lapan jaringan disusuli Henrietta Justine, tujuh gol.
"Takut juga, mereka latih hari-hari sedangkan kami hanya sempat berlatih untuk 1-2 perlawanan.
"Mahu atau tidak, kami kena berikan saingan.
"Saya berazam membantu pasukan bagi menentang pasukan lawan yang memiliki ramai pemain kebangsaan," kata Nurul Nadia.
Must-Watch Video