Liga Super: Tok Gajah buat Sang Penyu menangis bucu permainan


Ogos 16, 2024 22:22 MYT
TERENGGANU 1 SRI PAHANG 1
Sri Pahang menggunakan masa kecederaan selama empat minit untuk menghampakan Terengganu mengutip mata penuh Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Anak buah Tomislav Steinbruckner itu begitu hampir untuk mencipta kemenangan menerusi jaringan tunggal pemain import kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, yang terhasil sebelum menutup separuh masa pertama.
Begitupun, Stefano Brundo menjadi watak untuk memusnahkan impian tiga mata pihak lawan menerusi tandukan berbisanya di penjuru pintu gol tuan rumah untuk mengikat kedudukan 1-1.
Padahal, Sang Penyu menggunakan 10 minit terakhir untuk menguji kubu pelawat, namun sukar melancarkan percubaan tepat yang menyaksikan rembatan Nik Muhammad Sharif Haseefy Lazim yang sekadar menggegar tepi jaring.
Kesempatan itu digunakan Tok Gajah untuk melancarkan serangan balas apabila memperoleh sepakan penjuru kelapan sebaik memasuki masa kecederaan.
Jelas ia menjadi titik tolak kepada kedua-dua pasukan untuk berkongsi mata.
Dalam pada itu, satu lagi perlawanan liga menyaksikan PDRM berjaya meraih tiga mata penuh berdepan Kuala Lumpur City selepas meraih kemenangan tipis 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Selayang, sebentar tadi.
Ifedaya Olusegun membuka jaringan awal pada minit ke-9 sebelum Jovan Motika menyamakan kedudukan buat pasukan dari Lembah Klang itu dalam separuh masa kedua. Tetapi jaringan Fadi Awad memastikan tiga mata penuh milik pasukan tuan rumah.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita'
;