Liga Super: Tiga aksi sengit sudahi minggu kelapan
Shaiful Shamsudin
April 10, 2023 00:29 MYT
April 10, 2023 00:29 MYT
NEGERI SEMBILAN 1 SABAH 1
Empat gol terhasil untuk menutup minggu kelapan Liga Super 2024 sebentar tadi yang turut menyaksikan Negeri Sembilan FC berkongsi mata dengan Sabah FC.
Dalam pertemuan di Stadium Tunku Abdul Rahman itu, Sang Badak meleburkan hasrat anak buah K. Devan untuk mengutip tiga mata apabila Tommy Mawat Bada melepaskan satu sepakan percuma kencang yang terus menerjah jaring yang dikawal Damien Lim pada minit ke-21.
Begitupun, kegagalan skuad Jang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihidu Jailton Paraiba yang pantas melambung bola ke depan gawang dari sayap kiri untuk disudahkan Park Tae-soo dari celah kepungan pemain lawan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Keputusan ini menyaksikan Sabah memintas kedudukan Terengganu FC untuk menguasai tangga kelima, sementara Negeri Sembilan di kedudukan sembilan.
Dalam masa sama, Sri Pahang FC mendaki ke tangga kelima meskipun berdepan detik cemas apabila memerlukan tandukan Stefano Bruno pada masa kecederaan untuk mengesahkan tiga mata ke atas Kelantan United di Stadium Darulmakmur.
Sementara itu, Kuala Lumpur FC perlu bermandi keringat dalam misi mencipta kemenangan 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Mereka perlu mempertahankan kelebihan yang dicipta Sebastian Avanzini pada masa kecederaan babak pertama selepas kehilangan T. Saravanan yang dilayangkan kad merah atas terjah keras terhadap Ikhwan Hafizo ketika berbaki 30 minit permainan.
Di sebalik Sang Seladang menggunakan kesempatan itu untuk mengatur lebih banyak gerakan berbahaya, barisan kendalian Bojan Hodak tersebut berjaya menyerap segala ancaman berkenaan.