LIGA SUPER MSIA

Liga Super: Tidak mahu tewas kepada Selangor, Terengganu hanya beraya satu hari sahaja

Najmi Iman 31/03/2025 | 02:38 MYT
Perlawanan Liga Super minggu ke-24 menyaksikan Terengganu cekal melakukan persiapan dengan mengorbankan cuti Hari Raya demi menumpukan fokus menghadapi Selangor, 5 April ini.
Sehubungan itu, Sang Penyu hanya diberikan cuti satu hari sahaja sebelum memanggil semula semua pemain untuk menjalani latihan berdepan naib juara liga itu.
Perlawanan menentang The Red Giants merupakan misi penting Terengganu bagi memperbaharui kedudukan carta yang ketika ini berada di tempat kelima.

"Terengganu berada di fasa kritikal. Kita telah dipintas Kuching City yang kini berada pada tempat ketiga liga dengan perbezaan empat mata.

"Rela atau tidak, pemain perlu korbankan cuti raya kali ini untuk buat persiapan menjelang aksi penting menentang Selangor di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) nanti," kata ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, kepada akhbar tempatan.

Di sebalik usaha gigih itu, pengendali itu juga menasihati para pemain supaya menjaga pemakanan dan mengekalkan tahap kecergasan masing-masing sebagai peringatan untuk mengelakkan daripada kekalahan berlaku.

#bola sepak #Liga Super Malaysia #Selangor #Terengganu