LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Status PJ City musim depan masih jadi tanda tanya
Status pasukan Petaling Jaya City FC bagi saingan Liga Malaysia musim depan masih menjadi tanda tanya walaupun terdapat desas-desus kuat yang mengatakan mereka akan menarik diri.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, berkata setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan daripada kelab itu kepada pihaknya.
"Saya fikir PJ City perlu memberikan jawapan kerana saya tidak dapat menjawab tentang status kewujudan pasukan itu.
"Saya berharap mereka akan meneruskannya (musim depan) kerana banyak khabar angin di luar sana tentang keberadaan mereka.
"PJ City merupakan pasukan yang mengambil bahagian dalam pelesenan kelab dan mereka lulus dengan amat cemerlang.
"Dan mereka juga pasukan yang telah diuruskan dengan amat baik dengan bajet yang terhad berbekalkan konsep yakini local yang membantu kita memperkembangkan bakat tempatan.
"Saya percaya sentiasa ada tempat untuk PJ City dalam liga jika mereka mahu meneruskannya tetapi ia satu keputusan yang perlu ditentukan badan korporat pasukan itu," katanya.