Liga Super: Sepakan percuma Safawi kekal berbisa ketika Terengganu atasi KL City
Muzaffar Musa
Ogos 10, 2024 23:15 MYT
Ogos 10, 2024 23:15 MYT
Ketua pasukan, Safawi Rasid membuktikan sepakan percumanya kekal berbisa ketika membantu Terengganu menewaskan Kuala Lumpur City 2-0 dalam aksi Liga Super di Cheras sebentar tadi.
Perlawanan itu, bagaimanapun, hanya bertahan selama 15 minit sebelum terpaksa diberhentikan selama 15 minit berikutan masalah lampu limpah.
Selepas itu, Terengganu memecahkan kebuntuan jaringan menerusi penyerang import, Manuel Ott, yang melepaskan rembatan 'first-timer' dari dalam kotak penalti selepas menerima lintangan rendah Azam Azmi Murad.
Safawi kemudian menggandakan kelebihan itu pada minit ke-70 menerusi sepakan percuma lencong di depan kawasan penalti KL City, yang tepat menuju ke penjuru atas kiri gawang Azri Ghani.
Dengan kemenangan itu, Terengganu kembali ke tangga ketiga liga dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan sambil KL City pula di tangga kelima dengan 11 mata.