Liga Super: Sentuhan pemusnah awal Ronnie Fernandez modal kemenangan Selangor

Shaiful Shamsudin
September 28, 2024 23:03 MYT
SELANGOR 1 TERENGGANU 0
Jaringan Ronnie Fernandez ketika permainan belum mencecah 30 saat sudah cukup menghukum Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Gergasi Merah terus berbahaya dan kali ini menerusi Yohandry Orozco pula berpeluang menggandakan kelebihan tetapi percubaannya dalam babak pertama itu terlalu tinggi.
Selangor terus mengasak kubu tuan rumah tetapi sentuhan Aliff Haiqal Lau itu pula dikecewakan oleh tiang.
Sang Penyu cuba mengasak dalam pemburuan gol penyamaan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka untuk meratapi kekalahan kedua musim ini.
Satu lagi aksi Liga Super turut berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sri Pahang dibelasah 0-3 kepada Perak yang masih segar dengan kejayaan membenam Kuala Lumpur (KL) City di Ipoh, minggu lalu.
Begitupun, selepas usaha awal pelawat berdepan kebuntuan di depan pintu gol , The Bos Gaurus berhasil memecah kebuntuan untuk menutup babak pertama dengan kelebihan menerusi tandukan Luciano Guaycochea.
Dan pemain import dari Argentina itu terus mencipta impak positif buat pelawat dengan satu tindakan susulan yang cukup pantas untuk memastikan Perak terus di depan 2-0.
Firdaus Saiyadi kemudian membutirkan gol bagi menambah derita Tok Gajah menerusi jaringan ketiga pelawat.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;