LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Selangor tutup musim dengan kemenangan ke atas PDRM
SELANGOR 3 PDRM 1
Ribuan penyokong Selangor yang memenuhi Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini harus berpuas hati meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka itu ke peringkat Asia musim depan.
Ini selepas pasukan naib juara Liga Super itu menamatkan musim dengan kemenangan 3-1 ke atas PDRM.
Penyerang sensasi negara, Faisal Halim, terlebih dahulu meletakkan Gergasi Merah di depan dengan menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-36 sebelum Brendan Gan menggandakan kelebihan itu menuju ke waktu rehat.
PDRM, bagaimanapun, merapatkan jurang berkenaan hasil jaringan Fadi Awad pada minit ke-71 tetapi Richmond Boakye memastikan malam keraian mereka itu tidak tercalar dengan penyudahnya pada minit ke-88.
Walaupun tidak menjaringkan gol dalam pertemuan kali ini, penyerang utama Selangor, Ayron del Valle, muncul pemanang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2023 dengan 23 gol, lebih dua gol berbanding penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva.