LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Selangor mahu tamatkan badi lawan KL City
Bukan misi balas dendam, kata ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner, menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Cheras, Jumaat ini walaupun pasukannya berdepan badi lawan itu sepanjang musim lalu.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Jerman itu tetap menyasarkan tiga mata bagi memastikan permulaan sempurnanya selepas diberikan tanggungjawab untuk mengemudi pasukan utama The Red Giants musim ini.
Selangor gagal mencatatkan kemenangan sepanjang empat pertemuan menentang KL City musim lalu dan menjelang 'derby' Lembah Klang itu minggu ini, Feichtenbeiner -- yang juga merupakan pengarah teknikal Selangor -- berkata kepada Nadi Arena: "Musim lalu, sejarah sebelum ini, tidak akan dikira, jadi ia merupakan satu pasukan amat berbeza.
Iklan
"Empat kekalahan lalu berlaku kerana kami tidak bernasib baik musim lalu tetapi kali ini, kami memiliki ramai pemain baru dan mereka tidak tahu-menahu mengenai perlawanan sebelum ini.
"Kami hanya fokus kepada masa depan. Kami mahu bermain dan membina masa depan yang cerah buat Selangor, jadi kami tidak memandang ke belakang.
"Bagi saya, ia bukan balas dendam tetapi kami memerlukan permulaan yang baik buat Selangor dan itulah fokus kami.
"Kami mahu mempamerkan prestasi yang baik dan mendapatkan tiga mata di Cheras," katanya.
Must-Watch Video