Liga Super: Selangor bangkit benam Sabah di Likas
Ogos 13, 2024 23:17 MYT
Kelebihan bermain di laman sendiri gagal digunakan Sabah yang terpaksa akur dengan tewas 1-2 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.
Selangor bertandang ke Kota Kinabalu untuk perlawanan bertemu Sabah, dalam usaha meneruskan rentak kemenangan yang diperoleh ketika bertemu Kelantan 2-0 pada Sabtu.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan apabila kapten Selangor, Muhammad Safuwan Baharuddin, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27.
Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila Ronnie Fernandez menyamakan kedudukan empat minit kemudian ekoran kesilapan pertahanan Sabah.
Bersambung dalam separuh masa kedua, Selangor kelihatan selesa mengawal rentak permainan dan gol kemenangan akhirnya terhasil lima minit sebelum tamat permainan, Harith Haiqal Adam Afkar memanfaatkan bola muntah daripada dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, untuk menjadi kedudukan 2-1 sekaligus Selangor pulang dengan membawa tiga mata.