LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Sebastian Avanzini terkilan tak dapat perkuat Skuad Jang
Tonggak import tengah Negeri Sembilan, Sebastian Avanzini, memaklumkan dia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan hamstring yang dialaminya ketika berdepan Selangor, 9 Disember lalu.
Pemain kelahiran Itali berusia 30 tahun itu turut mengakui terkilan terlepas empat aksi Liga Super tatkala Skuad Jang bergelut untuk keluar daripada kelompok tercorot liga.
Dia turut berharap dapat kembali memperkuatkan pasukan pada perlawanan seterusnya berdepan Kedah Darul Aman di Paroi pada 26 Februari depan.
Untuk rekod, sejak menyertai Skuad Jang pada September lalu, Avanzini telah tampil dalam lima perlawanan dan telah mencetak dua jaringan di pentas liga setakat ini.
"Ini antara kecederaan paling sukar dalam karier bola sepak saya. Ia adalah kecederaan hamstring, dan ia amat mengecewakan saya dan pasukan.
"Saya sering katakan pada diri saya bahawa saya akan beraksi untuk aksi seterusnya setiap kali, jadi saya takut untuk katakan perkara itu lagi.
"Harapan saya agar boleh kembali bantu pasukan." katanya.