Liga Super: Sabah 'raya awal' di Likas, PDRM kalah tipis kepada JDT
Ammar Hakim
April 19, 2023 23:44 MYT
April 19, 2023 23:44 MYT
Sabah FC garang melakar kemenangan 6-1 ke atas Kelantan FC yang berlangsung di Stadium Likas sebentar tadi.
Membawa momentum kemenangan dalam aksi pusingan 16 Piala FA ke atas Kelantan United, Sabah membuka jaringan menerusi Daniel Ting pada minit keempat, menyempurnakan hantaran pemain import Korea Selatan, Ko Kwang-min bagi meletakkan skuad Badak di hadapan.
Belum sempat Kelantan bangkit menyamakan kedudukan, bekas pemain KL City itu sekali lagi muncul sebagai penjaring pada minit ke-11 sekali lagi hasil gandingan bersama Kwang-min untuk Daniel mengatasi penjaga gol, Farhan Abu Bakar.
The Red Warriors berjaya mengurang defisit jaringan pada permulaan separuh masa kedua, Miguel Cifuentes bijak melepaskan rembatan melepasi gawang Sabah pada minit ke-46.
Namun keceriaan skuad kendalian Frank Bernhardt tidak bertahan lama, Dominic Tan kembali menambah jurang dua gol Sabah menerusi gol pada minit ke-48 sebelum kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar mengecewakan pelawat pada minit ke-61.
Sabah terus gah beraksi di laman sendiri apabila menghasilkan gol kelima menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-75 sebelum Telmo Castanheira memastikan malam gemilang Sabah dengan gol pada minit ke-91.
Sabah FC merekodkan kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/iRgkADCjpD
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 19, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini melonjakkan Sabah ke tangga keempat liga dengan 17 mata, satu mata di hadapan Kedah. Sementara Kelantan pula terus berada di zon tercorot Liga Super dengan empat mata selepas merekodkan kekalahan keempat berturut-turut dalam liga.
Sabah akan menentang Selangor pada 27 April sementara Kelantan pula berdepan Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 28 April.
Sementara itu dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, PDRM tewas tipis 1-0 kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Fernando Forestieri memastikan kemenangan 10 berturut-turut buat JDT dalam saingan Liga Malaysia musim ini (sembilan Liga Super, satu Piala FA) menyaksikan mereka kekal di puncak liga dengan 27 mata.
Di Ipoh pula, Perak FC melepaskan peluang untuk mendapatkan kemenangan di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan.
Skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim mendahului pada minit ketiga perlawanan menerusi Alif Zikri sebelum Shahrel Fikri memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata pada minit ke-70.