Liga Super: Sabah raih kemenangan keempat, 17 gol dihasilkan selepas empat perlawanan
Najmi Iman
November 3, 2024 21:01 MYT
November 3, 2024 21:01 MYT
4-2 bertemu Perak. 4-0 tewaskan Penang. 5-2 tumpaskan Kedah Darul Aman. Selepas tiga perlawanan berkesudahan dengan jaringan besar, Sabah terus merekodkan gol yang tinggi ketika menang berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) di Stadium Likas, sebentar tadi.
Keputusan 4-1 jelas meletakkan Sabah berada di kelas tersendiri demi mengutip tiga mata penuh seterusnya dalam aksi Liga Super Malaysia.
Meskipun ketiadaan Darren Lok, Joao Pedro berjaya menggalas misi selaku penyerang utama tatkala tandukannya berjaya menembusi jaring KDN pada minit ke-15 untuk memimpin permainan.
Kesilapan Rawilson Batuil susulan gerakannya menghukum barisan pertahanan Sabah yang menghadiahkan gol penyamaan 1-1 buat KDN menerusi sepakan Fazrul Amir.
Namun, tidak sampai satu minit Sabah berada di depan semula apabila tampanan Farhan Roslan membawa kepada gol kedua skuad tuan rumah.
Sebelum wisel penamat, keupayaan tandukan Joao Pedro sekali lagi menewaskan penjaga gol KDN, Fikri Che Soh, 3-1 yang menceriakan kem Sabah menuju bilik persalinan ketika rehat separuh masa.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS15#LigaSuper2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/oNBKeAoP5T
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 3, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Duka berganda pasukan pelawat hadir ketika skuad kendalian Ong Kim Swee memanfaatkan situasi bola mati ekoran Gabriel Peres yang melakukan tandukan deras nyata memberi mimpi ngeri buat KDN.
Tamat permainan, Sabah berhasil menutup perlawanan dengan kemenangan keempat yang berkesudahan 4-1.
Secara keseluruhan, Sabah sudah menjaringkan sebanyak 17 gol dalam empat pertemuan, sekali gus menghuni tangga ketiga liga dan mengutip 26 mata untuk berada di belakang Selangor.