Liga Super: Sabah pesta jaringan di Likas
Ammar Hakim
Oktober 29, 2024 21:13 MYT
Oktober 29, 2024 21:13 MYT
Sabah mempamerkan aksi lima bintang dalam melakar kemenangan 5-2 ke atas Kedah Darul Aman dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, sebentar tadi.
Pertemuan antara Sabah-Kedah ini merupakan perlawanan tertangguh dengan buruan tiga mata tetap menjadi keutamaan kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Ong Kim Swee meraih kelebihan seawal minit kedua perlawanan apabila Rizal Ghazali melakukan kekasaran dan Saddil Ramdani menggunakan peluang sebaik mungkin untuk membenarkan Sabah mendahului 1-0.
Ketika kedua-dua pasukan hampir menuju bilik persalinan, Kedah menemui jalan untuk menyamakan kedudukan apabila Cleylton menanduk masuk sepakan sudut.
Bersambung dalam separuh masa kedua, Sabah hanya memerlukan tiga minit untuk kembali di hadapan menerusi Joao Pedro.
Milos Gordic membantu Kedah kembali mengikat kedudukan namun ia bersifat sementara apabila Sabah kembali mendahului yang menyaksikan Pedro meledak gol kedua peribadi.
Dua lagi gol menerusi S. Kumaahran dan Gary Steven Robbat menamatkan malam penuh gemilang buat Sabah, menutup perlawanan dengan kemenangan 5-2.