Liga Super: Perak tidak berbelanja besar tapi masih mampu berada dalam kelompok atasan
Muzaffar Musa
September 29, 2024 18:29 MYT
September 29, 2024 18:29 MYT
Siapa kata berbelanja besar satu jaminan untuk berada dalam kelompok atasan Liga Super.
Pasukan yang berhemah dalam urusan jual beli pemain, Perak, membuktikan tanggapan itu salah apabila kini menghuni tangga keempat Liga Super dengan hanya mempertaruhkan kudrat pemain muda.
Dengan menumbangkan pasukan pilihan, Sri Pahang, 3-0 di Temerloh semalam, Perak kini mengumpulkan 15 mata daripada 10 perlawanan, bahkan memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Ia turut menyaksikan The Bos Gaurus cemerlang dalam tiga aksi terakhir, di mana mereka bukan hanya merakamkan kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan itu, bahkan tidak dibolosi sepanjang 270 minit terakhir.
Ketua jurulatih, Yusri Che Lah, mengakui kelibat penjaga gol, Haziq Nadzli, menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan itu tetapi cabaran besar bakal dihadapi mereka dalam aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu ini memandangkan pemain itu tidak dapat diturunkan menentang kelab induknya, di mana dia merupakan pemain yang dipinjamkan ke Perak.
"Saya yakin dengan keupayaan Haziq," kata Yusri kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Dua hari sebelum kami ke sini (Stadium Temerloh), dia dan isterinya mendapat anak ketiga dan walaupun dua hari tidak bersama pasukan, saya masih yakin untuk menurunkannya.
"Kerana dalam dua perlawanan sebelum ini, dia telah menunjukkan aksi terbaiknya," katanya.
"Bola Sepak","Liga Super","Perak FC","Yusri Che Lah","Haziq Nadzli","Sri Pahang FC"