Liga Super: Perak FC tiada isu kredibiliti Lim Teong Kim

Shaiful Shamsudin
April 3, 2023 19:56 MYT
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, menegaskan kelab itu bertindak profesional mengenai sebarang keputusan drastik dari pihak pengurusan ke atas status Datuk Lim Teong Kim.
Begitupun, perubahan pasukan perlu berlaku dari masa ke semasa.
Ramai yang mempersoalkan sejauh mana kemampuan sebenar Teong Kim yang membawa wajah baru Sang Seladang musim ini berikutan keputusan dalam saingan Liga Super yang tidak memberangsangkan, sekali gus meletakkan mereka dalam situasi kurang baik.
"Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama. Ibaratnya kota Rom tidak dibina sehari. Jadi tunggulah.
"Kontraknya adalah selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepadanya.
"Tapi baru beberapa bulan kita dah cari pasal, saya ingat ini tidak profesional lagi," katanya di Nadi Arena.
Sehingga ke saat ini, Perak masih yakin dengan keupayaan Teong Kim, seiring dengan kontraknya tahun yang telah diberikan kepada bekas penolong jurulatih Bayern Nunich B-19 itu.
Tambah Azim, Perak memilih untuk bersikap relevan dan enggan terburu-buru dalam membuat keputusan memandangkan barisan pemain yang ada juga masih muda dan perlu lebih banyak pendedahan.
"Kami berikan tempoh 3-5 tahun, saya sudah jelaskan kepada penyokong.
"Dalam 1-2 tahun terawal, kami tidak sasar kedudukan 2-3 terbaik, kedudukan pertengahan pun sudah cukup.
"Dan apabila sudah bina pasukan, sebaik masuk ke fasa tiga, kami akan tingkatkan prestasi," katanya.
#liga super #Perak FC #DemiLigaKita #Datuk Lim Teong Kim
;