Liga Super: Perak FC di landasan tepat -- Teong Kim

Sinar Harian
April 20, 2023 17:35 MYT
Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim percaya pasukannya berada di landasan tepat untuk tampil lebih mantap selepas mengikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak pada Rabu.
Menurutnya, kejayaan mengikat antara pasukan kuat seperti Negeri Sembilan itu memberikannya harapan positif dalam mengharungi saingan liga.
"Pemain-pemain kita memberikan segalanya yang mereka ada dalam perlawanan ini. Persembahan ini memberikan saya harapan yang positif terutama dalam menghadapi perlawanan selepas cuti hari raya nanti.
"Saya pasti kita akan lebih mantap lagi," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Perak mendahului seawal minit ketiga menerusi Mohd Alif Zikri dan menunjukkan persembahan yang baik sebelum Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.
Teong Kim berkata, mereka mampu untuk melakar kemenangan dalam perlawanan itu menerusi beberapa peluang yang ada, namun beliau tetap berpuas hati dengan satu mata.
"Kita mahu beri hadiah yang terbaik. Tetapi satu mata pun boleh kata lebih baik daripada tiada kerana Negeri Sembilan pun ada peluang untuk jaringkan gol.
"Kita pun ada peluang untuk tambah gol, tetapi ini adalah bola sepak," katanya.
Perak ketika ini berada di kedudukan ke-11 liga dengan enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.
kredit: Sinar Harian
#liga super #Negeri Sembilan #Perak #DemiLigaKita
;