Liga Super: Perak dakwa tidak diajak bincang


Oktober 6, 2024 20:28 MYT
Kelab Liga Super, Perak FC mendakwa tidak diberikan peluang berbincang sebelum penangguhan perlawanan menentang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak semalam.
Itu tegas Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang prihatin dan berkongsi kekecewaan penyokong dan komuniti bola sepak atas penangguhan yang didakwa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berikutan cuaca dan padang yang tidak sesuai menganjurkan perlawanan.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang atau memberikan pandangan sepanjang proses membuat keputusan ini.
“Perak FC sebagai sebahagian antara pemegang taruh Liga Malaysia sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan.
“Venue Stadium Perak, Ipoh telah dinilai dan diluluskan penggunaannya sebelum musim Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 bermula dan bersedia serta sebelum perlawanan yang dijadualkan pada Sabtu.
“Kami mengakui dan sentiasa menyokong keperluan untuk penambahbaikan pada padang di stadium tersebut, walaupun stadium ini tidak diuruskan secara langsung Perak FC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Azim juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas usaha dua pihak tersebut yang berterusan untuk menaik taraf padang dan aspek lain di stadium berkenaan.
Sebagai rekod, Perak FC akan bermain di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Manjung bagi baki saingan 2024/25 berikutan kerja penaiktarafan padang Stadium Perak.
“Kami juga kecewa kerana tiada perancangan rapi notis awal diberikan MFL berhubung perkara ini.
"Lebih 10,000 penyokong baik tuan rumah mahu pun pasukan pelawat hadir dengan perbelanjaan sendiri untuk menyaksikan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan ini sehingga jam 6 petang, pemeriksaan menunjukkan bahawa perlawanan tidak akan dibatalkan.
“Pihak kami ingin menekan bahawa kurangnya pertimbangan terhadap penyokong-penyokong kedua-dua pasukan Perak FC dan JDT yang hadir ke stadium adalah isu utama dalam perkara ini.
“Pihak MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh khususnya penyokong-penyokong,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Azim juga mengingatkan kepada pihak MFL bahawa penyokong-penyokong adalah nadi kepada sukan paling popular negara ini.
“Kami ucap terima kasih kepada penyokong-penyokong Perak FC atas sokongan yang tidak berbelah bagi dan berharap MFL akan mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan terancang pada masa depan bagi mengelakkan keadaan sama berulang lagi,” katanya.-Sinar
#liga super #Perak
;