Liga Super: Penang, Negeri Sembilan sama kuat di Stadium Bandaraya
Muzaffar Musa
September 22, 2024 19:58 MYT
September 22, 2024 19:58 MYT
PENANG 2 NEGERI SEMBILAN 2
Negeri Sembilan memperoleh mata kelima dalam saingan Liga Super musim ini apabila mengikat Penang 2-2 di Stadium Bandaraya sebentar tadi.
Pasukan pelawat itu memperoleh jaringan pembukaan seawal 30 saat pertama apabila percubaan Hadin Azman terkena tiang sebelum terbias ke belakang kepala Aqil Irfanuddin sebelum melantun ke gawang Penang.
Pendahuluan itu, bagaimanapun hanya bertahan selama 13 minit apabila tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyudah leret Rodrigo Dias pada minit ke-14.
Berselang dua minit, Penang berada di depan apabila seorang lagi pemain import, Dylan Wenzel-Halls, menemui lintangan Syamer Kutty Abba sebelum melepaskan rembatan ke gawang Negeri Sembilan.
Ketika Penang kelihatan akan membawa kelebihan itu ke babak kedua, Skuad Jang bimbingan K. Nanthakumar kemudian menyamakan kedudukan hasil ledakan jarak jauh Sebastian Avanzini pada minit terakhir waktu kecederaan.
Tiada sebarang pertambahan jaringan terhasil dalam separuh masa kedua untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan pungutan satu mata.
Keputusan itu menyaksikan Penang kekal di tangga kesembilan liga dengan 11 mata daripada 10 perlawanan manakala Negeri Sembilan pula kekal di tangga kedua tercorot dengan 5 mata.