LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Penang FC tamatkan khidmat Kamal, Eng Hua
Pengurusan tertinggi Penang FC menamatkan khidmat pengarah teknikal, Kamal Kalid, dan Pengurus Pasukan Liga Super Penang FC, Ong Eng Hua, secara serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan Harimau Kumbang itu dalam Liga Super 2023.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi, berkata susulan daripada itu, ketua jurulatih pasukan Liga Super yang baru, Chong Yee Fatt, akan memainkan peranan sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan untuk masa akan datang.
"Saya bagi pihak pengurusan Penang FC ingin memaklumkan pengurusan tertinggi Penang FC berasa amat dukacita dengan prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam saingan Liga Super musim 2023.
Iklan
"Ia termasuk kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen saingan Piala Malaysia 2023 baru-baru ini. Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini.
"Oleh itu, pihak pengurusan menamatkan khidmat Kamal dan Eng Hua serta-merta yang mana, kedua-dua mereka tidak lagi akan terlibat dalam apa sahaja urusan kelab dan pasukan selepas ini.
"Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang telah diberikan sepanjang mereka bersama kelab dan pasukan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perlawanan semalam, Penang FC tewas 0-3 kepada PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum itu, Penang FC turut tewas 1-2 kepada KEdah Darul Aman FC di hadapan hampir 3,000 penonton di Stadium Bandaraya.
Dalam pada itu, Danial berkata, susulan daripada penamatan perkhidmatan itu, ia akan memberi tanggungjawab penuh kepada Yee Fatt untuk mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC.
"Langkah pembaharuan menyeluruh ini adalah untuk membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan bagi memenuhi harapan dan aspirasi penyokong dan peminat pasukan Penang FC," katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video