LIGA SUPER MSIA

Liga Super: PDRM realistik sasar tamat kempen liga dalam kelompok enam terbaik

Saufi Tahir 24/03/2025 | 11:53 MYT
Penolong ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, mengakui kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan yang diraih pada pertngahan Mac lalu di Selayang mampu memulihkan semula keyakinan serta motivasi anak buahnya selepas tewas dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Meskipun masih bergelut dengan prestasi semasa, dia percaya pasukannya akan berusaha sedaya upaya untuk meraih keputusan positif dalam baki tiga perlawanan selepas ini.
Pengendali berusia 42 tahun itu berasakan Sang Saka Biru perlu mengutip sekurang-kurangnya enam mata lagi jika berhasrat untuk menamatkan kempen Liga Super 2024/25 musim ini dalam kelompok enam pasukan terbaik.
Dua aksi di tempat lawan menanti The Cops adalah berdepan Sabah dan Selangor sementara perlawanan terakhir di Selayang adalah menanti kunjungan Terengganu.
"Sejujurnya sebagai jurulatih kemenangan adalah tonik terbaik dan motivasi terbaik buat diri dan pasukan. ini adalah kemenangan pertama buat saya dan barisan jurulatih.
"Jika dilihat dalam carta liga kami berada di tangga kelapan dengan 21 mata, tetapi berbaki tiga aksi lagi. Secara realistik adalah jika pasukan dapat berikan aksi terbaik dan raih enam mata maka kami akan berada dalam kelompok enam terbaik." katanya.
#liga super #PDRM #Eddy Gapil